KENYATAAN Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai komplot untuk menjatuhkan beliau sejak enam bulan lalu adalah sama sekali tidak merujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu dijelaskan oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya yang menegaskan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu tidak bermusuh dengan badan penguatkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Menurutnya, perseteruan yang sebenarnya adalah dengan Menteri yang bertanggungjawab, bukan kepada badan penguatkuasa itu sendiri.
“Pas Kedah meneliti kenyataan balas Datuk Seri Ayob Khan (Timbalan Ketua Polis Negara) berhubung dakwaan wujudnya komplot terhadap Sanusi selaku Menteri Besar Kedah.
“Bagi merungkai kekeliruan yang timbul, Pas Kedah ingin menjelaskan bahawa kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai komplot untuk menjatuhkan beliau sejak enam bulan yang lalu tidak sama sekali merujuk kepada pihak PDRM.
“Kenyataan itu juga tidak bersangkutan dengan tangkapan PDRM ke atas Sanusi baru-baru ini, walaupun secara zahirnya terdapat beberapa keraguan terhadap prosedur yang dikenakan ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, kenyataannya itu bukan andaian, malahan disebut sendiri oleh Sanusi dalam siri ceramah beliau “Saya bukan bermusuh dengan Polis, tapi menteri yang jaga KDN (Kementerian Dalam Negeri)”.
“Walau bagaimanapun, Pas Kedah mengharapkan agar badan penguatkuasa khususnya pihak PDRM mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan tugas dengan penuh profesional.
“Sewajarnya tindak tanduk badan penguatkuasa ini tidak dikuasai oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kerana ia kelak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti badan penguatkuasa dalam negara.
“Badan penguatkuasa bukan sahaja seharusnya bebas bertindak melindungi kepentingan awam, bahkan mesti dilihat bebas.
‘Justice must not only be done, but must also be seen to be done’,” katanya. – Malaysiapost