PRN: TNB larang pasang bahan kempen di premis, tiang elektrik

SEMUA parti politik dilarang memasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, larangan itu termasuk menampal atau menggantung bahan kempen seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

“Pemasangan bahan kempen itu boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

“TNB juga mengingatkan orang ramai supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh.

“Perbuatan ini boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada mereka yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Nazmy berkata, perbuatan itu menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.

“TNB akan melakukan rondaan rutin bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memohon kerjasama semua pihak supaya mengelak daripada melakukan kerja pengorekan tanah dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.

“Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik.

“Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis penting sepanjang proses pilihan raya ini seperti pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Nasihat kami, kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan boleh hubungi pejabat TNB berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.

Orang ramai yang melihat situasi boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara tidak diingini berlaku. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights