“Siapa yang dapat untung, dia lah rancang” – Sanusi

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan dakwaannya mengenai komplot menjatuhkan kredibilitinya, dirancang sejak enam bulan lalu bukan membabitkan pihak berkuasa, sebaliknya rancangan pihak tertentu.

Beliau berkata, komplot berkenaan kemungkinan dirancang sejak Oktober tahun lalu, apabila stor kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon diletupkan.

“Itulah sebahagian daripada komplot ini. Kemudian kerajaan bertukar…saya dihalang daripada menghadiri majlis-majlis mesyuarat Kerajaan Persekutuan.

“(Mereka) berusaha bersungguh-sungguh, tapi gagal pasal (sebab) saya pandai. Saya riuhkan (halangan)….(hingga) terpaksa dibenarkan hadir. Itu komplot.

“Saya bukan maksudkan polis, yang perasan (terasa) pasai pa (kenapa) tak tahu. Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam. Semua kakitangan awam negeri dan Persekutuan adalah rakan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serahan Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2022/2023 Kumpulan Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah Kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Darul Aman, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, menegaskan penahanan yang dilakukan terhadap Muhammad Sanusi adalah berdasarkan kronologi siasatan yang dilakukan pihak polis.

Ditanya sama ada komplot itu dirancang oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), menegaskan tidak tahu mengetahuinya.

“Tak tahulah. Buatlah kesimpulan sendiri. Siapa yang dapat untung, dia lah rancang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan memberi keterangan mengenai dakwaannya itu kepada polis.

“Saya hari-hari diambil keterangan. Nampak tumpuan kepada saya berlebihan, itulah orang kesian kat saya. Saya angkat tangan lagu tu, budak-budak semua angkat sekarang ni.

“Jangan lebih-lebih, nanti orang marah. Ha? Saya tak tahu. Lepas ni saya akan buat inilah (angkat tangan). Satu tagline baru di Malaysia untuk rakyat ikut saya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights