Tak perlu bandingkan Kelantan dengan Pahang

AHLI Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal terkilan dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyamakan kemajuan pembangunan Kelantan dengan Pahang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, berpendapat tiada keperluan langsung untuk membandingkan kedua-dua negeri berkenaan.

Menurutnya, sepatutnya Mohd Amar lebih fokus kepada menyampaikan manifesto Pas Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Terutama bagaimana ingin menaik taraf Kelantan ke ‘Liga Super’ dan bukannya berbangga mengisytihar Kelantan selesa dalam ‘Liga Bawahan’.

“Lebih dahsyat lagi, beliau turut mengheret Pahang kononnya turut berada sama di kancah Liga Bawahan itu juga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Fadzli berkata, tindakan ‘menepuk air didulang’ itu amatlah dikesali kerana secara langsung mendedahkan kelemahan pentadbiran sendiri.

“Saya tidak berhasrat untuk membandingkan Kelantan dengan Pahang, namun saya sekadar ingin berkongsi lima perkara yang telah dicapai di Pahang dalam masa terdekat ini.

“Peningkatan kutipan Hasil Pendapatan Negeri Pahang melepasi RM1 billion pada 2022; pelaburan bernilai lebih RM20 bilion pada 2022; dan pengurangan hutang kerajaan negeri yang signifikan daripada RM3.31 bilion (sebelum tahun 2018) kepada RM952.21 juta setakat tahun 2022.

“Kejayaan penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat berjumlah RM77.95 juta pada 2022; dan terbaru, Jun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyenaraikan Pahang negeri ketiga terbaik atas kejayaan merekodkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 10.8 peratus, iaitu selepas Pulau Pinang (13.1 peratus) dan Selangor (11.9 peratus)” katanya.

Beliau berkata statistik pencapaian Pahang itu menceritakan segala-galanya dan berharap agar permainan politik persepsi sedemikian dapat dihentikan.

“Jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan lantai jongkang-jongket. Setiap negeri ada keunikan masing-masing. Demografi berbeza, geografi juga berbeza. 

“Menarilah mengikut rentak masing-masing. Di Pahang, kami menari ikut rentak Joget Pahang. Dan paling utama… kedudukan Liga kita tak sama. Fokuslah di Kelantan, jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” sindirnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights