ANAK kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mengimbau kenangan sewaktu kecil pernah melalui waktu perit sehingga bapanya terpaksa berhutang bagi membeli susu untuk anak-anak.
Menerusi hantaran Facebook, Fatihah berkata kesusahan keluarga mereka sebelum ini menjadi pendorong kuat kepada arwah bapanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerja keras bagi memastikan rakyat tidak kelaparan.
Menurutnya, ketika kecil dia dan adik-adik dibekalkan wang 30 sen untuk membeli makanan ringan diingini mereka ketika bapanya tiada di rumah.
“Kami membesar dengan didikan mak dan ayah yang mengajar kami untuk mengenal nilai. Bukan untuk mengenal pangkat dan harta. Kami bukanlah asal keluarga senang. Kami juga pernah merasai erti kesusahan dan kesempitan. Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motor (motosikal) pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim.
“Kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk belanja jajan daripada emak. Kami juga pernah merasai makan berlaukkan keropok tanpa protein seperti daging dan ayam. Pernah juga mak cerita pada kami, ayah terpaksa hutang susu dengan apek kedai masa kami masih kecil. Mungkin itulah antara mendorong ayah bekerja keras untuk memastikan rakyat tidak lapar,” katanya.
Fatihah yang juga seorang peguam turut berkongsi hasrat bapanya yang mahu dijemput ‘pergi’ ketika sedang bekerja yang akhirnya dimakbulkan Allah apabila Salahuddin meninggal dunia Ahad lalu ketika dalam tugasannya di Kedah.
Menurutnya, arwah bapanya menyuarakan hasrat itu ketika dalam pertemuan bersama Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman, yang turut dihadirinya dua bulan lalu.
Katanya, arwah bapanya juga menyatakan ahli politik perlu sentiasa bekerja dan tidak boleh pencen bagi membolehkan mereka sentiasa cergas.
“Sejujurnya saya masih mencari kekuatan dan cuba menyusun kata-kata untuk menulis post ini.
“Antara adik-beradik, saya agak bertuah kerana dapat luangkan masa lebih bersama ayah selain daripada di rumah. Kadang-kadang ayah keluar makan dengan kawan-kawan ayah called ‘jom makan’.
“Dua bulan lepas, ayah ada ajak makan masa tu dengan Datuk Mohd Azis Jamman. Kebetulan ketika itu kami berbual kenapa ahli politik sukar untuk pencen. Ayah secara spontan jawab ‘ahli politik tak boleh pencen. Kalau dia pencen, otak dia tak gerak tak tahu nak fikir apa, sebab tu saya selalu berdoa kalau saya pergi, biarlah dalam keadaan saya bekerja begini’,” katanya.
Menurut Fatihah, arwah bapanya adalah seorang yang lembut dan mendekati setiap anaknya seorang demi seorang untuk mengetahui perkembangan pembelajaran dan masalah dihadapi mereka.
Ujarnya lagi, disebabkan bapanya sibuk dengan urusan politik dan pentadbiran negara, arwah juga sering menasihati mereka untuk tidak menyusahkan ibu mereka.
“Ayah memang lembut. Jarang marah kami adik-beradik. Masa kami meningkat remaja ke dewasa ayah lebih banyak guna pendekatan ‘slow talk’. Ayah selalu panggil kami bergilir-gilir masuk ke bilik supaya dia boleh ‘one to one’ dengan kami. Selalunya kami agak cuak apabila sesi begini berlaku sebab selalunya ia berlaku apabila kami buat masalah.
“Tetapi tidak, kadang-kadang dia hanya bertanya ‘belajar semua macam mana? Ok?’. Selalunya dia akan selit untuk titip nasihat selepas itu. Mungkin kerana dia jarang berada di rumah dan masa itulah dia guna untuk nasihatkan kami untuk tidak menyusahkan emak,” katanya.
Fatihah berkata, keakrabannya bersama Allahyarham Salahuddin terbukti apabila arwah bapanya itu menangis kali pertama di hadapannya pada lima tahun lalu.
“Masa 5 tahun lepas, pernah sekali ayah panggil saya masuk bilik dan ayah menangis sebab ayah ada masalah ketika itu. Itulah kali pertama saya lihat ayah menangis dan itulah kali pertama saya yang menjadi pendengar ayah. Kemudian ada sekali kami berdua menangis kerana saya mengadu masalah kepada dia. Begitulah ayah. Pendengar yang sangat baik dan sentiasa menitip nasihat buat anaknya yang ada ketika begitu keras.
“Ayahlah pelembut hati saya ketika yang lain tidak boleh melembutkan saya. Ayahlah yang banyak mengajar saya bersabar, untuk mengawal kata-kata, untuk lebih memilih diam ketika marah,” katanya.
Mengulas pembabitan dalam politik, Fatihah berkata, dia kini tidak berpeluang lagi membantu bapanya dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah medan pertama dan terakhir buatnya menjadi pengurus kempen bagi arwah bapanya itu.
“Tiada lagi ceramah untuk ayah masa pilihan raya. Tiada lagi tugas untuk sediakan soalan bagi pertanyaan jawab lisan untuk sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Tiada lagi tugas menguruskan borang calon ayah.
“Tiada sudah tempat untuk diri ini mengadu ketika tiada yang mendengar, tiada sudah titipan nasihat daripada ayah, tiada sudah ‘slow-talk’ dan ‘heart to heart’ session (sesi hati ke hati) dengan ayah.
“Berehatlah ayah. Tugasmu sudah selesai. Amanah yang ayah pikul sudah dilunaskan sebaiknya. Ayah terlalu penat lalu meninggalkan kami.
“Tiada istilah arwah dalam kamus hidup ini. Yang ada hanyalah ayah. Selagi tidak hilang ingatan ini, selagi itulah ayah tetap ayah di hati dan ingatan ini. Terima kasih ayah kerana mendidik kami dengan nilai yang baik.
“Pemergianmu cukup mulia. Kami reda. Berehatlah wahai ayah,” tulisnya.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam Ahad lalu setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.- Malaysiapost