MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam hari ini, mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat pelakon Hafidz Roshdi terhadap isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, secara lisan pada 22 Februari lalu adalah sah dan mengikut hukum syarak.
Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin mensabitkan berlaku penceraian talak satu yang mana keputusan itu dibuat selepas mahkamah telah meneliti permohonan dan keterangan daripada kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan sebelum ini, lapor Kosmo Online.
“Selepas mahkamah mendengar pemohonan keterangan dan pengakuan kedua-dua belah pihak secara teliti mahkamah mengesahkan lafaz cerai pada 22 Februari secara lisan (Hafidz) adalah sah mengikut hukum syarak manakala lafaz cerai 22 Januari tidak menjatuhkan talak.
“Maka jatuhlah talak satu kali pertama terhadap defendan (Shuhada)” katanya.
Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana Hafidz selaku plaintif dan Shuhada sebagai defendan.
Dalam prosiding hari ini, Hafidz diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Shuhada diwakili peguam syarie Nurfarhana Abd. Manaf.
Terdahulu, dalam perbicaraan sebelum ini, Hafidz memberitahu bahawa lafaz cerai yang dibuat terhadap Shuhada hanya berlaku sekali dan bukan dua kali.
Hafidz dalam keterangannya berkata lafaz cerai itu hanya dibuat pada 22 Februari 2023 melalui perbualan telefon pada jam 11.40 malam yang mana lafaz itu adalah: “Saya ceraikan awak talak satu Nurul Shuhada Binti Mat Shukri.” katanya.
Menurut Hafidz ketika lafaz dibuat, dia dalam keadaan waras, sihat berserta dengan niat yang mana ketika lafaz cerai itu dia berada di Shah Alam Selangor, manakala Shuhada berada di Perlis.
Sementara, Shuhada pula selaku defendan dalam keterangannya kekal dengan pendirian mengatakan Hafidz melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali.
“Kali pertama pada 22 Januari 2023 menggunakan aplikasi ‘Whatsapp’ iaitu ‘Saya lepaskan awak’ manakala kali kedua pada 22 Februari melalui panggilan telefon,” katanya.
Untuk rekod, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi , 29, dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun. – Malaysiapost