PN jamin tumpu isu rakyat, kos sara hidup jika menang di Selangor

TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan kepada calon gabungan itu agar memperjuangkan isu yang dihadapi rakyat Selangor, khususnya dalam membasmi kemiskinan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, isu kos sara hidup menjadi pesanan utama dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada calon-calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

“Saya tidak dapat menahan diri melihat kesusahan dan pelbagai isu yang membelenggu rakyat. Di Selangor, isu kemiskinan termasuk miskin bandar semakin kritikal.

“Pastinya dalam krisis ekonomi sebegini, rakyat menuntut tindakan pantas daripada pemimpin dan mereka yang mentadbir negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, jika PN diberi peluang berkhidmat di Selangor, perkara utama yang Menteri Besar dan barisan exco harus lakukan ialah segera membentuk Majlis Tindakan Ekonomi bagi menangani isu-isu berbangkit berkaitan kebajikan rakyat.

Katanya, antara isu utama yang perlu diambil perhatian segera termasuk isu miskin bandar, peluang pekerjaan, tangani kos sara hidup.

Beliau berkata, selain tiga isu utama itu, terdapat banyak lagi tawaran kepada rakyat Selangor yang akan diumumkan dalam manifesto kelak.

“Yang pasti tidak akan ada seorang pun rakyat Selangor akan tersisih dalam tawaran Perikatan Nasional, InsyaAllah.

“No one will be left behind. Ini jaminan kami, jaminan Perikatan Nasional!

“Dengan sokongan ahli serta dokongan seluruh rakyat, saya yakin Perikatan Nasional akan mencipta kejutan seterusnya mengambil alih Selangor pada PRN kali ini, insyaAllah. Doakan kami,” ujarnya.

Secara keseluruhan, PN akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan gabungan itu bertanding di 56 kerusi di Selangor dengan Bersatu akan diwakili 21 calon, diikuti PAS (17), Gerakan (lapan) serta 10 calon mewakili Bersatu-Bersekutu, iaitu satu daripada sayap Bersatu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights