MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil dengan ‘serangan balas’ apabila mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyiasat projek 99 East di Langkawi pada 2007.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu mendakwa, projek bernilai berbilion ringgit berkenaan dilaksanakan ketika Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah.
Beliau berkata, projek berkenaan didakwa merugikan Kerajaan Kedah apabila ia didakwa tidak selesai sehingga kini sehingga disaman sebuah syarikat swasta, Terra Monda.
“Suruh Pudin (Saifuddin) pi siasat tatakelola Projek 99 East di Langkawi. Projek tahun 2007 masa Tok Det (Mahdzir) jadi MB, sampai sekarang tak selesai lagi, apa pun tak jadi.
“Last-last (akhirnya) kena saman dengan syarikat swasta Terra Monda yang hanya bermodalkan air liur,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Muhammad Sanusi lagi, projek padang golf dan kediaman mewah yang diuar-uarkan bernilai RM1.4 bilion itu merugikan kerajaan negeri dalam banyak aspek disebabkan keghairahan pihak tertentu.
“Kerajaan (negeri) terpaksa bagi tanah milik kerajaan dan tanah yang bukan milik kerajaan (tanah hutan simpan, tanah PKB, tanah LKIM, tanah MPLBP) kepada projek itu, dan terpaksa cari tanah lain untuk ‘swapping’ sekatan Rizab Melayu,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada 2018 hingga 2020, kerajaan ketika itu mendakwa sudah ada jalan penyelesaian berhubung projek berkenaan.
“Depa (Kerajaan PH) kata dah ada penyelesaian, tapi tak akan selesai melainkan kerajaan menanggung rugi beratus juta.
“Haaa.. dah hang rajin sangat nak siasat tatakelola, sila suruh kawan-kawan hang pi siasat. Panggil depa semua seorang-seorang, tengok siapa yang kena,” katanya.
Untuk rekod, Projek 99 East Langkawi bermula sejak 2007 dengan ‘joint venture agreement’ dan ‘shareholders agreement’ ditandatangani antara Kedah Corporation Berhad (KCB) dengan Terra Monda Development Pte Ltd pada Februari 2007.
Projek itu bagi membangunkan Bukit Malut di Langkawi membabitkan 144 hektar tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB).
Difahamkan, komposisi pegangan dalam usahasama ini adalah 80-20 peratus dengan Terra Monda (51 peratus dimiliki pelabur Swiss) dan 20 peratus KCB untuk membentuk syarikat yang dinamakan 99 East Langkawi Sdn Bhd.
Melalui perjanjian itu, KCB perlu menyediakan tanah dan seterusnya pindahkan tanah itu kepada 99 East Langkawi Sdn Bhd dan Terra Monda selaku pelabur akan biayai kos dan pelaksanaan pembangunan.
Bagaimana pun, terma perjanjian itu didapati berat sebelah dengan nisbah keuntungan tidak seimbang, tambahan pula KCB menjanjikan tanah yang bukan miliknya. – Malaysiapost