Tanah mendap: Laluan KM66.1 Lebuhraya KL-Karak dibuka semula – ANIH Berhad

LALUAN Kilometer (KM) 66.1 yang ditutup susulan kejadian tanah mendap berhampiran Plaza Tol Bentong, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Selasa lalu, kembali dibuka hari ini.

Pembukaan semula laluan itu dimaklumkan ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pembukaan semula dibuat selepas semua pihak berkaitan melaksanakan langkah komprehensif dan melakukan usaha penilaian yang sewajarnya.

“Susulan kejadian berkenaan (tanah mendap), semua pihak terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Malaysia Rail Link (MRL) telah membuat penilaian segera dan dengan kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), tindakan pemulihan segera telah diambil untuk kemudahan pengguna,” kata kenyataan itu.

Rabu lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tanah mendap berlaku disebabkan pembinaan terowong laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berada 13 meter di bawah laluan berkenaan.

ANIH turut berkata, tindak balas yang diselaraskan dalam gerak kerja pemulihan membabitkan pasukan ANIH dengan sokongan pihak yang berwajib, memainkan peranan penting dalam menyelesaikan keadaan dengan pantas.

“Syarikat komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dan pemantauan berterusan keadaan jalan raya. Keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi perhatian utama.

“Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan dan berhati-hati ketika memandu di KM66.1. Tanggungjawab kolektif ini bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selamat untuk semua,” katanya.

Sebarang informasi tepat dan terkini, pengguna disaran mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook, menerusi Lebuhraya Pantai Timur, di platform twitter @LPTTrafik dan @llmtrafik, serta Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sekiranya berlaku sebarang kecemasan hubungi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di 1-700-818-700 atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di 1800-88- 7752. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights