ADIK kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, menolak penyandang Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Ini kerana dakwa Nik Din Nik Mat, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS adalah punca nama anak Allahyarham Nik Abdul Aziz, Nik Mohammad Abduh tiada dalam senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan yang diumumkan dua hari lalu.
“Ambo rayu kepada adik kakak jangan undi Nik Amar kali ini, biar dia kalah dan rasa sebab dia naik pun kerana rakyat.
“Siapa yang dengar video ini jangan undi Nik Amar, dan kalau kita undi maknanya kita sokong kejahatan dia.
“Orang seperti inilah yang menyebabkan PAS punah dan jahanam,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nik Mohd Abduh tidak tercalon pada PRN di Kelantan walaupun nama beliau disebut-sebut bakal bertanding di satu kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa.
Sementara itu Nik Din berkata, beliau hairan apabila nama Nik Mohammad Abduh yang juga anak saudaranya tidak dicalonkan di kerusi DUN Chempaka.
Ini kerana katanya, beliau sendiri bertemu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Terengganu pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.
“Haji Hadi maklumkan parti memang perlukan Nik Abduh kerana dia seorang yang cerdik, kerjanya bagus dan rajin bersuara di parlimen.
“Jadi ambo hairan bila nama Nik Abduh tidak dicalonkan di DUN Chempaka, sedangkan tok guru ada tulis surat kepada Pesuruhjaya PAS Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) supaya diberi kerusi DUN Chempaka kepada Nik Abduh, tetapi dia (Mohd Amar) tolak.
“Apabila DUN Chempaka kosong, ambo tengok nama dia (Nik Abduh) tak ada, ini saya hairan dan tak ada kerja orang lain.
“Ini kerja Nik Amar jahat dan dia tak bagi kepada Nik Abduh dan sampai di telinga saya dia tak bagi keluarga tok guru Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa,” katanya. – Malaysiapost