MB Negeri Sembilan berdepan saingan empat penjuru di Sikamat

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat berdepan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.

Beliau bakal ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal serta dua calon Bebas, Bujang Abu, dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sikamat, Saiful Saadon, pada jam 10.30 pagi ini.

Aminuddin yang mempertahankan kerusi itu buat kali keempat berkata, persaingan kali ini bukanlah boleh diambil mudah kerana semua calon biasa dengan DUN Sikamat.

“Kita bertanding dan kita tetap kena tahu bahawa itu pertandingan, (jadi) kita tahu ada risiko dan saya akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan ini.

“Tidak dinafikan mereka ada kelebihan masing-masing. Ada calon lama yang sudah bertanding kali ketiga dan saya juga mengenalinya, kerana tinggal di kawasan ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Aminuddin menang kerusi DUN berkenaan dengan memperoleh majoriti 3,413 undi selepas mendapat 9,832 undi dalam saingan empat penjuru. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights