BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, menyertai penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, sebagai tanda sokongan sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Seawal jam 7 pagi, beliau dilihat hadir di perkarangan Pejabat Umno Bahagian Hulu Selangor, dekat Kuala Kubu Bharu sebelum berarak bersama kumpulan itu menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu.
Bakal calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim, kelihatan segak lengkap berbaju Melayu biru, manakala calon untuk kerusi Dun Hulu Bernam, Mohd Amran Sakir tiba kira-kira jam 8 pagi diiringi penyokong Amanah.
Jentera DAP pula dilihat mengiringi DAP Dun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, yang menunggu di perkarangan dewan berkenaan bagi mengiringi calon Kerajaan Perpaduan.
Penyokong gabungan parti terbabit mula berarak ke pusat penamaan calon kira-kira jam 8.15 pagi dan tiba di perkarangan dewan berkenaan 15 minit kemudian. – Malaysiapost