Polis sahkan terima laporan ibu pejabat PAS dibaling batu 

POLIS mengesahkan menerima laporan Ibu Pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut di ibu negara dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali mengakibatkan dinding kacanya pecah. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kejadian dilaporkan pada jam 5.30 pagi tadi dan polis giat mengesan suspek terlibat dengan dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Dalam kejadian itu, katanya, suspek yang menunggang motosikal membuat bising sebelum membaling batu ke dinding kaca pejabat berkenaan yang dilihat pengawal bertugas di bangunan tersebut. 

“Polis sedang mengesan suspek terlibat, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan dapat menjejakinya,” katanya dalam sidang media khas mengenai Ops Cantas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Bukit Aman. 

Razarudin berkata polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran bagi membantu usaha mengenal pasti suspek. 

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat. 

Pagi tadi, PAS membuat laporan polis selepas dinding kaca di Ibu Pejabat PAS Pusat dibaling batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum proses penamaan calon bagi PRN di enam negeri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights