‘Saya akan beri soalan sehari satu untuk Saifuddin siasat’ – Sanusi

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bertegas akan memberikan tugasan tambahan berupa soalan harian kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata, ia sebagai balasan susulan tindakan Saifuddin yang didakwa kebelakangan ini sering ‘menyerang’ pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya ada soalan tiap-tiap hari untuk dia, sehari satu, satu. Saya janjilah nanti saya akan tembak sehari satu, satu.

“Dia rajinkan siasat itu, siasat ini (sehingga) yang tak perlu, yang dah disiasat pun dia siasat lagi, dia rajin (jadi) kita bagi dia kes untuk disiasat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman rasmi calon DUN Jeneri, di Pejabat Daerah dan Tanah Sik, Kedah, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), menjangkakan akan berlaku fasa serangan berterusan terhadap dirinya sepanjang kempen selama dua minggu ini.

“Serang lah apa pun kan. Saya boleh jawab saya jawab, yang tak boleh jawab saya serah Allah.

“Kalau ada asas kita jawab lah, peguam saya urus, dia pun dah maklum kata dia dah terima. Hari tu dia kata saya pencuri unsur nadir bumi (REE) lepas tu dia kata dicuri ja. Kan berbelit-belit tu, orang semua tahu jadi saya tak rasa bimbang sangatlah,” katanya.

Terdahulu, pagi tadi perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Sik bergema dengan teriakan ‘tolak Sanusi’, oleh kumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebaik beliau hadir bagi menyerahkan borang pencalonan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menyaksikan Muhammad Sanusi berdepan saingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua Umno Bahagian Sik.

Muhammad Sanusi memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon PH Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights