Tukar calon saat akhir DUN Kota Damansara untuk beri AMK peluang – Anwar

KEPUTUSAN saat akhir menukar calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara yang disandang Shatiri Mansor, adalah bagi memberi peluang kepada wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada calon daripada AMK Selangor yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

“Di Selangor ini calon mewakili AMK tidak ada. Ketua AMK negeri tidak diberi tempat, jadi saya fikir dalam banyak-banyak kawasan yang setia dan mudah terima calon walaupun ada pertukaran saat akhir, saya tengok Kota Damansara.

“Sebab itu kita letak Muhammad Izuan Ahmad Kasim (Ketua AMK Selangor), tokoh muda untuk menjadi calon,” katanya pada majlis Ceramah Arus Merah Kuning sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Subang Bestari, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata keputusan itu dibuat selepas melalui proses yang sepatutnya dan barulah watikah pencalonan ditandatanganinya.

“Kalau saya tidak yakin calon itu baik, mampu bekerja dan berkhidmat dengan prinsip perjuangan kita berteraskan reformasi, kita tidak akan pilih,” katanya.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Shatiri dan semua kepimpinan di kawasan Parlimen Sungai Buloh, khususnya DUN Kota Damansara.

“Kawasan Parlimen dan DUN yang ada sikit masalah, tetapi yang paling setia dan taat kepada perjuangan. Tengok Shatiri, diberi bertanding setia, tak bertanding lagi setia…mana nak cari yang macam itu. Terima kasih ‘brother’.

“Ini yang dikatakan disiplin dalam perjuangan. Terima kasih atas kesetiaan dan kefahaman mereka,” katanya.

Kerusi DUN Kota Damansara adalah antara tiga kerusi yang melalui proses pertukaran calon pada saat akhir.

Pada awalnya, Anwar yang juga Perdana Menteri mengumumkan Aidi Amin Yazid sebagai calon tetapi sehari sebelum penamaan calon ia digantikan dengan Ketua AMK Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

DUN Kota Damansara sebelum ini diwakili Shatiri Mansor dari PKR.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Shatiri memperoleh majoriti 15,703 undi menewaskan pencabar Halimaton Saadiah Bohan (BN), Siti Rohaya Ahad (Pas) dan A Sivarajan (Parti Sosialis Malaysia). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights