YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak dapat menahan sebak mengenang tragedi berdarah pencerobohan di Kampung Air Sri Jaya, Simunul di Semporna, Sabah.
Baginda berkenan menyaksikan persembahan pantomin mengisahkan tragedi bersejarah pada Mac 2013 itu sempena sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.
Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 8.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan, dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut mengiringi Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
“Istiadat sambutan Hari Pahlawan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkonsepkan perbarisan statik melibatkan enam detasmen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), pesara serta bekas anggota polis.
“Acara dimulakan dengan lagu Negaraku diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan oleh anggota ATM, dan diikuti dengan pemeriksaaan kawalan kehormatan utama oleh Yang di-Pertuan Agong,” menurut Istana Negara dalam kenyataan di Facebook.
Dalam masa sama, perbarisan Hari Pahlawan tahun ini melibatkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Supt Mohd Rezuan Juragan.
Istiadat diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai ‘last post’ dengan menurunkan Jalur Gemilang diikuti dengan deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawanku’ disampaikan oleh Sarjan Roseshini Kasim dan Pegawai Waran I Yomen Morzelan Md Jusoh.
Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai merupakan antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahan kedaulatan negara. – Malaysiapost