SIASATAN polis mendapati diesel, kain, bahan mercun, bateri, litar, wayar dan suis antara bahan terkandung dalam dua botol bom buatan sendiri (IED) yang ditemui di bawah kereta peguam, Siti Kasim di sebuah pusat servis kenderaan di Bangsar pada 21 Julai lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek yang terlibat dipercayai mempunyai ilmu dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan bahan-bahan yang didapati melibatkan mercun, bateri, diesel, kain dan wayar.
Menurutnya, analisis Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati IED berkenaan adalah bahan letupan yang aktif dan boleh diletupkan menerusi alat kawalan jauh.
“Pemeriksaan mendapati bahan letupan tersebut berada dalam keadaan suis switch off (mod tertutup).
“Suis manual itu perlu ditekan secara fizikal untuk mengakifkan bahan letupan itu dan boleh diletupkan menggunakan alat kawalan jauh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, petunjuk baharu berkaitan kes masih dikenal pasti untuk siasatan selanjutnya.
“Seramai 13 individu telah dirakam keterangan melibatkan mangsa, rakan-rakan, mekanik dan pengawal keselamatan kediaman mangsa yang mana kesemua mereka berumur antara 26 hingga 60 tahun.
“Siasatan secara terperinci masih dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan objek yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik Siti Kasim dipercayai ialah bom jenis Improvised Explosive Device (IED).
21 Julai lalu, Siti Kasim memuat naik secara langsung di Facebook miliknya mendakwa terdapat objek menyerupai bom diletakkan pada keretanya.
Beliau menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kereta jenis Toyota Celica miliknya untuk diselenggara di pusat servis. – Malaysiapost