KEMENANGAN calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang bukanlah kemenangan individu, tetapi kemenangan DAP dan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata dengan terbentuknya kerajaan perpaduan yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan, bukan sahaja membawa kestabilan politik tetapi mempunyai barisan pimpinan yang mempunyai visi dan kemampuan bagi membolehkan ekonomi berkembang maju dan rakyat hidup senang.
“Pihak lawan hanya tahu mainkan sentimen untuk memecahbelahkan rakyat seperti bukan Islam adalah punca rasuah di Malaysia sungguhpun rasuah tidak kenal warna kulit, tetapi langsung tidak ada idea untuk menguruskan ekonomi dan negara.
“Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mencabar Azmin (Ali) dan Sanusi (Md Nor) berdebat isu ekonomi, tetapi mereka tidak berani.
“Apa yang PN syorkan hanyalah idea seorang pemimpin mencetak wang untuk diedar kepada rakyat yang hanya akan hancurkan sistem ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Guan Eng yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih berkata demi masa depan negara beliau menyeru rakyat terus menyokong calon PH pada PRN kali ini supaya masa depan negara terus cerah dan bersinar. – Malaysiapost