PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ia susulan pengumuman Ahmad Zahid dalam program bersama anak muda di Terengganu yang meluluskan geran sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk kumpulan bermotosikal, sehari sebelum pencalonan calon bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata kes tersebut perlu disiasat kerana Ahmad Zahid menyalahgunakan inisiatif kerajaan dengan syarat inisiatif lanjut akan diberi seandainya undi diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kita sentiasa perjuangkan untuk Malaysia bebas daripada layanan dua darjat terhadap isu rasuah ini.
“Jangan kerana ahli politik ini adalah pemimpin negara, kita tutup sebelah mata dan kita takut nak ambil tindakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata geran berjumlah RM350,000 diumumkan Ahmad Zahid kepada belia Terengganu disifatkan pemberian dari pemerintah dan tiada unsur rasuah.
Beliau berkata sumbangan diumum Timbalan Perdana Menteri iaitu RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu, dipersoal pelbagai pihak kerana menjelang PRN.
Sebelum ini Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas SPRM yang membisu berhubung pengumuman Ahmad Zahid mengenai sumbangan dan geran kepada belia Terengganu, Jumaat lalu, sehari sebelum penamaan calon.
Selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah dan MBM Terengganu, Ahmad Zahid mengumumkan bantuan RM200,000 kepada kelab bermotosikal di negeri itu.
Dalam majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menggesa belia yang hadir supaya mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan. – Malaysiapost