KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini bakal menjadi referendum rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau yakin rakyat akan membuat pilihan untuk menyokong PN seterusnya menawan negeri-negeri tersebut.
“Pada 12 Ogos ini rakyat Selangor dan lima negeri lagi akan memilih. Undi mereka bakal menjadi referendum.
“Referendum inilah yang digeruni pemimpin PH-BN dan mereka sudah mulai panik.
“Insya-Allah, Selangor akan ditawan oleh PN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Malam tadi beliau bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta pemimpin Bersatu hadir program kempen di DUN Sungai Panjang dan Sekinchan di Selangor.
Menurut Hamzah, aura sokongan rakyat semakin kuat dan semakin jelas.
Katanya, penerimaan rakyat terhadap calon PN iaitu Mohd Razali Shaari dan Goh Gaik Meng juga amat positif.
“Dengan izin Allah, kedua-dua DUN ini akan menyumbang kepada kejayaan PN merampas Selangor,” katanya. – Malaysiapost