PASUKAN Merah Kuning menjadi juara Piala Malaysia, Sukan Malaysia (Sukma) Liga Super dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) antara manifesto ditawarkan Kerajaan Perpaduan Selangor sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sasaran itu antara yang ingin dicapai kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari dalam tempoh lima tahun akan datang jika diberi mandat pada 12 Ogos ini.
Manifesto berkenaan diumumkan Amirudin dalam Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor, yang mengandungi lima teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Selangor.

Tawaran itu terkandung dalam Tekad yang keempat iaitu Pembangunan Mampan, Selesa, dan Berdaya Huni
“Selangor menjadi pusat pembangunan bakat sukan utama di Malaysia dengan memperkasa Akademi Merah Kuning bagi melahirkan bakat terbaik bidang bola sepak.
“Aspirasi Kita Selangor dengan sasaran tiga serangkai iaitu pasukan Merah Kuning menjadi juara Piala Malaysia, SUKMA dan Liga Super menjelang tahun 2025 dan Piala AFC pada tahun 2027,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, berkata pembangunan semula Stadium Shah Alam adalah antara perancangan dalam mencapai sasaran berkenaan.
“Stadium Shah Alam termasuk dalam pelan Selangor Maritime Gateway (SMG) dan akan dimulakan jika mengikut perancangan kita pada September ini.
“Kos pembangunan (stadium) adalah berperingkat dan untuk fasa pertama sudah diluluskan. Kos untuk stadium sahaja sekitar RM800 juta.
“Tetapi sudah pasti kemudahan sekitarnya nanti akan membabitkan kos-kos yang lain dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Menurutnya, kos-kos berkenaan adalah berdasarkan penelitian dan cadangan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Keseluruhan (pembangunan stadium) ada tiga fasa dan kita baru meluluskan fasa pertama iaitu merobohkan (stadium lama) dan tuntutan tanah,” katanya. – Malaysiapost