PENTADBIRAN Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) ketika ini jauh lebih baik dari Kedah dan Kelantan yang ditadbir Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Justeru Presiden Amanah itu berpesan kepada seluruh rakyat di Selangor agar berfikir secara rasional dan menilai sejauh mana pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
“Kita tidak mahu kempen politik yang melampau sehingga mengkafirkan pihak lawan hanya kerana berbeza fahaman politik.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Selangor untuk terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Kita pastikan keenam-enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti menjadi milik Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu malam tadi hadir ceramah Arus Perdana Merah Kuning – N53 DUN Morib di pekarangan Medan Selera Taman Sri Putra, Banting bersama calon PH, Hasnul Baharuddin. – Malaysiapost