PRN: ‘Gugur 16 Adun Kelantan bukan kerana tak bagus’ – Mohd Amar

PAS menegaskan tindakan parti itu mengugurkan 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan disebabkan mereka tidak bagus atau cemerlang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebaliknya ia adalah sebahagian taktikal dan strategi yang dilakukan pihaknya demi masa depan Kelantan.

Katanya, semua mereka yang tidak dikekalkan masing-masing cemerlang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sudah memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.

“Mereka yang tidak bertanding bukan tidak bagus tetapi pertukaran dibuat kerana kita mahu melakukan satu lonjakan untuk masa depan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15), malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyedari cabaran lebih besar pada masa akan datang dengan melaksanakan perubahan terbesar dalam politik Kelantan.

Katanya, 51.1 peratus calon baharu termasuk mengetengahkan calon Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menunjukkan kesungguhan dalam parti.

“Calon yang diperkenalkan juga melibatkan golongan dalam pelbagai bidang profesional,” katanya.

Pada PRN kali ini PN menampilkan, 27 calon dari PAS dan lima daripada Bersatu di DUN Kijal, Kuala Besut, Telemong, Seberang Takir dan Permaisuri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights