TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengambil keputusan menerima pelawaan debat mengenai hal ehwal ekonomi, pada 9 Ogos ini.
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat Mohd Syahir selepas mendapat keizinan daripada kepimpinan partinya.
“Saya ucapkan terima kasih. Platform debat adalah peluang bagi parti-parti membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat.
“Maklumat lanjut debat akan dimaklumkan tetapi tarikh setakat ini adalah 9 Ogos 2023,” tulisnya di Facebook.
Sementara itu, Mohd Syahrir turut mengesahkan perkara itu serta mencadangkan tajuk ‘Malaysia Lebih Baik’ untuk program debat terbabit.
“Debat Ekonomi. Setelah mendapat perkenan, saya dengan ini menyatakan persetujuan.
“Format, moderator, tarikh dan tempat, YB RR (Rafizi Ramli) cadangkan. Tajuk ‘Malaysia Lebih Baik’, saya cadangkan. Bismillah,” tulisnya di Facebook.
Semalam, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memaklumkan bahawa tawarannya untuk berdebat mengenai hal ehwal ekonomi bersama Mohd Syahir telah ditolak.
Beliau memaklumkan bahawa tiada pihak dalam PN menyahut cabarannya untuk berdebat berkenaan ekonomi negara.
Ahad lalu, Rafizi mencabar Mohd Syahir untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.
Cabaran itu diutarakan Rafizi selepas bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak berdebat dengannya. – Malaysiapost