CALON Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail akan membuat laporan polis susulan papan iklan wajahnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa khianat.
Azan berkata, beliau kesal dengan segelintir pihak yang dilihat masih mengamalkan politik tidak matang dengan bertindak sedemikian.
Beliau turut menggesa perbuatan itu dihentikan dan menyeru supaya semua pihak berkempen secara berhemah.
“Saya merayu hentikanlah sikap atau budaya politik tidak matang ini, marilah kita berkempen secara berhemah dalam suasana harmoni dan bukannya dengan cara provokasi melampau sebegini.
“Masyarakat perlu mendokong prinsip demokrasi selain menolak budaya keganasan dalam tempoh kempen pilihan raya kali ini,” katanya.
Terdahulu, gambar Anwar yang diletakkan bersebelahan gambar Azan pada papan iklan yang dipasang di simpang jalan menghala ke Masjid Terapung, dirosakkan dan disimbah cat.
Kejadian hanya disedari penduduk awal pagi tadi. – Malaysiapost