PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng mengesyorkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan cuti khas pada 12 Ogos ini bagi membolehkan rakyat negeri itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, cadangan itu diutarakan kerana bimbang akan menjejaskan peratusan keluar mengundi jika ramai yang perlu bekerja pada hari terbabit.
Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Menteri,Chow Kon Yeow untuk mempertimbangkan mengenai perkara itu bagi memudahkan rakyat Pulau Pinang pergi membuang undi bagi menentukan wakil rakyat, seterusnya Kerajaan yang akan mentadbir negeri itu.
“Kita kena ambil berat, suka tak suka, rela tak rela kita kena terima hakikat iaitu kita bimbang tentang peratusan keluar undi, kalau peratusan keluar undi tidak seperti PRU15, kita bimbang mungkin keputusan tak memihak kepada pihak kita.
“Oleh sebab itu, kita kena pastikan semua penyokong kita dapat kembali (balik) untuk buang undi. Sungguhpun ada yang tak berapa rela, kita mesti yakinkan mereka dan saya harap manifesto (yang diumumkan malam tadi) dapat yakinkan penyokong kita dari luar untuk pulang membuang undi” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, malam tadi.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pemberian cuti seumpama itu bukanlah diberikan setiap tahun tetapi, hanya lima tahun sekali.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi justeru, kelonggaran perlu harus berikan supaya rakyat dapat menggunakan hak mereka sepenuhnya untuk menentukan siapa yang mereka mahu untuk menjadi pemimpin mereka. – Malaysiapost