DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) berkenaan dakwaan salah guna kuasa dan amalan rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu itu berkata, laporan tersebut berdasarkan pendedahan yang terkandung dalam kenyataan sumpah berkanun Datuk Abdul Murad Khalid pada 26 Oktober 1999.
Katanya, beliau berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dapat menyiasat kes itu secara komprehensif, professional, dan adil bagi memerangi amalan rasuah di negara ini.
“Pengalaman saya dengan SPRM melawan kes skandal 1MDB dari tahun 2014 sehingga 2018 banyak insiden-insiden yang amat mengecewakan tetapi kali ini biarlah keseluruhan rakyat Malaysia memerhati sekali lagi mengenai integriti SPRM itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairuddin menegaskan tidak bersikap emosional terhadap kes tersebut tetapi mahu menjadi warganegara bertanggungjawan melawan salah guna kuasa dan amalan rasuah.
Katanya, Anwar harus berhenti menuduh pihak lain ‘kaki sakau’ sehingga siasatan menunjukkan Perdana Menteri itu benar-benar bersih daripada perbuatan rasuah.
“Dalam masa yang sama secara ikhlas saya ingin mengingatkan badan-badan penguatkuasaan undang-undang di negara kita agar berfungsi secara peofessional, adil mahupun saksama kepada keseluruhan rakyat Malaysia.
“Jangan sama sekali kita menidakkan hak-hak rakyat kerana pada hakikatnya kuasa rakyat lebih besar dari mana-mana kuasa lain di bumi ini,” katanya. – Malaysiapost