NAIB Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, mendedahkan antara sebab parti itu enggan lagi bekerjasama dengan DAP kerana tidak bersedia menggadaikan prinsip perjuangan parti dengan menjadi ‘yes man’ kepada DAP.
Beliau menegaskan, keputusan itu dimuktamadkan secara kolektif oleh Majlis Syura Ulamak dengan mengambil kira pelbagai aspek secara menyeluruh, berpandukan prinsip perjuangan PAS.
“Berkawan (dengan DAP) dulu pun kita namakan tahaluf, bukannya walak. Tahaluf ini hanyalah ‘smart patnership’ dalam isu tertentu, antaranya menentang Akta Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) ketika itu.
“Ia (kerjasama) dengan syarat iaitu jangan ganggu prinsip yang PAS mahu bawa, selain kita tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya. Namun, bila sampai tahap (prinsip) PAS pun kamu mahu ganggu, kita ‘withdraw’ (tarik diri),”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Ceramah Mega PN Best, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang
Beliau mengulas gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) supaya PAS mengemukakan dalil al-Quran dan hadis yang melarang parti Islam itu daripada menjalin kerjasama dengan DAP.
Saifuddin, dipetik berkata pendirian terkini PAS itu bertentangan ketetapan mengenai kerjasama dengan DAP selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.
Malah, katanya, kedua-dua parti itu sepatutnya terus bekerjasama jika keputusan bagi tujuan demikian diputuskan berpandukan kaedah Islam.
Dalam perkembangan lain, Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, PAS optimis mengulangi kemenangan Perikatan Nasional (PN) ketika PRU15 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
“InsyaAllah dengan mood yang ada ketika ini, kita mengharapkan momentum ini dapat dikekalkan sehingga 12 Ogos nanti,” katanya. – Malaysiapost