TAN Sri SA Vigneswaran secara terbuka meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak ‘menganaktirikan’ MIC.
Presiden MIC itu berkata, beliau tidak menyangka Ahmad Zahid akan menyertai pertemuan parti tersebut dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Vigneswaran juga berkata, beliau tidak dapat membaca ucapan teks hari ini secara umum lebih-lebih lagi dengan kehadiran media.
“Saya seperti tidak dapat bercakap kerana Datuk Seri Ahmad Zahid ada di sini hari ini, kita juga hanya dapat tahu beliau akan hadir pada saat akhir.
“Bagaimanapun ingin saya cakap di hadapan semua tentang rasa kurang senang kami terhadap tindak tanduk khasnya dalam BN itu sendiri. Kami dianaktirikan dalam soal pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan.
“Dalam kerajaan juga kami tidak diberikan apa-apa pengiktirafan, jawatan tidak kira kerajaan mahupun GLC.
“Bukan kami kejar jawatan tapi ini soal penghormatan kami, soal maruah. Pengiktirafan itu penting,” katanya memetik Malaysia Gazette.
Vigneswaran berkata, MIC telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan namun tindak tanduk yang kurang menyenangkan menyebabkan akar umbi parti berasa kecewa.
Malah katanya, terdapat ahli parti yang menyangka beliau ‘mendapat sesuatu’ dan ini menyebabkan beliau mengambil pendekatan untuk bercakap secara terbuka.
“Selama ini juga apabila masyarakat melemparkan tohmahan, kita terus setia bersama BN dan Umno sehinggalah komuniti ini menjauhkan diri dari kami, semua isu kami dipersalahkan. Kami terima dan terus berjuang bersama komponen sehingga saat ini, jadi mengapa anak tirikan MIC dan MCA?
“Saya hargai semua komitmen dan bantuan yang Datuk Seri Anwar lakukan untuk MIC. Saya dan MIC cukup berterima kasih dengan dana RM25 juta diberikan beliau, juga ikrar beliau untuk memastikan segala isu komuniti India akan cuba diselesaikan dalam tempoh setahun ini. Kami maklum dan berterima kasih,” ujarnya.
Vigneswaran berkata, MIC tidak sepatutnya menghadapi situasi seperti itu lagi dan ia perlu ditangani secara terhormat.
“Kalau tidak beri jawatan juga tidak apa, tapi berilah penghormatan yang sewajarnya kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Vigneswaran berikrar MIC akan bertungkus lumus membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost