Zahid hadir mesyuarat Kabinet, bicara kes di mahkamah tangguh

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan hingga esok perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan Timbalan Perdana Menteri perlu menghadiri mesyuarat Kabinet pagi ini, lapor Kosmo Online.

“Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana Datuk Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat Kabinet pagi ini, bicara didengar esok,” katanya ketika memaklumkan perkembangan kes kepada wakil media di pekarangan mahkamah.

Hari ini, mahkamah sepatutnya menyambung keterangan saksi pembelaan ketujuh, Datuk Rosiah Osman, 71, yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid pada sesi pemeriksaan utama.

Semalam, saksi berkenaan antara lain menyatakan, kad kredit peribadi Ahmad Zahid digunakan bagi mendahulukan pembelian peralatan termasuk kipas, pendingin hawa dan permaidani untuk sumbangan masjid yang merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi.

Ujar Rosiah, wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik pembelian yang menggunakan kad kredit Presiden Umno tersebut.

Ahmad Zahid, 70, sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Beliau juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights