SEORANG wanita mendakwa berhadapan detik cemas selepas lelaki didakwa bekas menteri dikatakan membuat gangguan seksual terhadapnya di sebuah bangunan pejabat di Kuala Lumpur.
Wanita berusia 37 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas, 24 Julai lalu.
Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiapost, wanita tersebut antara lain menyatakan mendakwa diganggu ketika berjalan masuk daripada sebuah blok untuk ke blok berlainan.
Wanita itu juga mendakwa, lelaki itu berkata “wow geram tengok rasa nak tarik masuk dalam toilet (tandas)” kepada wanita itu ketika dia sedang berjalan.
Ketika kejadian terdapat beberapa individu lain yang memandang menyebabkan wanita itu malu dan marah.
Setelah menceritakan hal tersebut kepada suaminya, wanita itu mengambil keputusan membuat laporan polis untuk keselamatan diri.
Sumber polis ketika dihubungi Malaysiapost mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat wanita itu.
Bagaimanapun, sumber itu memaklumkan wanita berkenaan telah menarik laporan yang dibuat pada hari sama.
Difahamkan bekas menteri tersebut berada dalam Kabinet kerajaan terdahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu. – Malaysiapost