TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengguguran keahlian dua pemimpinnya yang menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah sebagai peringatan kepada yang lain supaya tidak membuat keputusan yang merugikan parti.
Beliau berkata, setiap ahli perlu akur walaupun tidak bersetuju dengan keputusan parti dan sebagai ahli, perlulah mendukung dan menyokong apa juga yang diputuskan oleh pucuk pimpinan.
“Keputusan PAS melantik calon bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon 29 Julai lalu adalah atas kehendak pucuk pimpinan.
“Suka atau tidak, bila sudah menjadi keputusan, kita perlu terima,” katanya memetik laporan HarakahDaily.
Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie digugur keahlian kerana bertanding sebagai calon bebas.
Takiyuddin berkata, lapan individu dari PAS didapati melanggar ketetapan parti melibatkan calon, wakil calon, pencadang serta penyokong di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Air Hangat dan Kuah.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, tindakan menyanggah keputusan yang ditetapkan parti dibimbangi boleh mencetuskan natijah tidak diingini.
Katanya, kejadian yang berlaku di Langkawi perlu dijadikan pengajaran supaya tidak berulang pada masa hadapan.
“Sebenarnya kita telah berusaha, tetapi pada saat akhir, watikah yang dikeluarkan, dua DUN berkenaan (Air Hangat dan Kuah) ditandingi calon PN dari Bersatu.
“Saya tahu sebahagian jentera kecewa dengan keputusan itu, tapi ia adalah perkara biasa,” katanya.- Malaysiapost