Keahlian Qobin dalam PN lulus dua hari selepas hantar borang

KEAHLIAN bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin, diluluskan hanya selepas dua hari menghantar borang permohonan untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Muqharabbin menelefonnya bagi menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu sebelum menghantar borang permohonan secara dalam talian.

Katanya, beliau sendiri yang meluluskan permohonan itu selepas memeriksa borang berkenaan, sambil mengucapkan terima kasih kepada Muqharabbin kerana mempercayai perjuangan dan kepimpinan PN.

“Sekarang ini keluarga yang besar itu (PN) sudah menjadi lebih besar dengan kemasukan ahli-ahli yang dahulunya bersama dengan Umno, yang dahulunya bersama MIC, ada juga dengan MCA yang sudah mula bersama dengan kami di PN.

“Itu memberikan satu lagi semangat kepada kita di peringkat tertinggi ini bahawa perjuangan yang kita bawa ini diterima baik oleh rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Perikatan Nasional, di Markas PAS Kampung, Durian Badur, dekat Kuala Berang.

Ujar Hamzah, Muqharabbin mengambil keputusan keluar Umno kerana berpendapat parti itu telah ‘melumpuhkan’ kepercayaan rakyat Malaysia.

“Maka sebab itu dia (Muqharabbin) merasakan melalui PN yang dia boleh membawa segala cita-cita untuk menaikkan semangat anak muda.

“Dia nampak ada keikhlasan dan sinar bahawa rakyat akan mencari alternatif yang baharu melalui PN,” katanya.-Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights