PENGALAMAN selama 15 tahun dalam bidang korporat strategik, politik, kerajaan dan khidmat rakyat menjadi sandaran kepada Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga itu, yang juga anak kepada pelakon komedi terkenal Allahyarham Harun Salim Bachik, bagaimanapun tidak mengharapkan populariti bapanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PH Selangor dan Ketua Pemuda Amanah Selangor, bertekad untuk menangani isu pembangunan di DUN Batu Tiga agar terkehadapan selari dengan kepesatan Shah Alam yang juga ibu negeri Selangor.

Isu itu antara yang terkandung dalam manifestonya Lima Tekad Untuk Batu Tiga, Kita Laksanakan Bersama.
“Antara isu utama yang akan saya angkat ialah menjadikan pembangunan Batu Tiga lebih terkehadapan seperti Kota Anggerik.
“Kukuhkan pembangunan keluarga dan masyarakat; santuni pekerja gig khususnya anak muda dan perkasakan mereka dengan kemahiran menjadi kerjaya.
“Tingkatkan daya tahan bencana dan banjir; serta perkasakan sistem penyampaian inisiatif kerajaan Selangor di DUN Batu Tiga,” kongsinya di laman Facebook.
Beliau berkata, manifesto Kerajaan Perpaduan Selangor iaitu Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Lima Tahun hanya dapat dilaksanakan jika pengundi Batu Tiga juga memilih calon PH.
“Percayalah ini bukan cakap-cakap kosong, bukan janji populis kerana kita telah buktikan sebelum ini melalui pelbagai inisiatif sedia ada.
“Pilih perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya.
Selain politik, Danial Al-Rashid pernah menjadi Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama dua tahun selain terbabit dalam pentadbiran kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Menerusi jawatankuasa itu, beliau ditugaskan sebagai Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Ketua Jabatan Warisan Anak Selangor yang menguruskan program bantuan dan pembangunan anak-anak istimewa serta Orang Kurang Upaya (OKU).
PRN Selangor 12 Ogos ini, beliau bakal berdepan saingan hebat daripada calon parti lain membabitkan Datuk Seri Rina Mohd Harun sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen daripada parti Muda. – Malaysiapost