Pengalaman sebagai menteri beri Rina kelebihan di Batu Tiga

BEKAS Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yakin mendapat sokongan warga Shah Alam terutama pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.

Keyakinan Ketua Srikandi Bersatu itu hasil maklum balas yang diterimanya daripada masyarakat setempat sepanjang berkempen sejak Sabtu lalu.

“Alhamdulillah selama lima hari berkempen di DUN Batu Tiga ini, saya menerima maklum balas yang sangat positif daripada penduduk dan juga pengundi-pengundi.

“Semoga pada 12 Ogos nanti, penerimaan yang baik ini akan diterjemah atas kertas undi untuk kemenangan Perikatan Nasional (PN),” katanya yang ditemui Malaysiapost ketika berkempen dari rumah ke rumah di Seksyen 24 Shah Alam, hari ini.

Sebagai calon baharu di kawasan berkenaan, beliau berpandangan semua calon mempunyai peluang yang sama kerana dua lagi calon lain juga adalah muka baharu di DUN terbabit.

“Dalam apa sahaja situasi atau keadaan sebenarnya kita perlu bekerja keras. Usaha perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebab di DUN Batu Tiga ini ada kira-kira 75,000 pengundi yang akan mengundi pada 12 Ogos ini

“Jadi saya harap semua jentera dapat menyantuni seberapa ramai pengundi dalam memastikan kali ini mereka membuat pilihan tiada lain hanyalah PN,” katanya.

Sementara itu, Rina juga yakin ada kelebihan yang mampu ditawarkan kepada penduduk Batu Tiga kerana pernah berada dalam kerajaan yang mentadbir negara sebelum ini.

“Pengalaman yang saya ada dalam Kabinet lalu bersama rakan lain dan pengalaman sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, ia merupakan satu kelebihan yang akan saya gunakan bukan sahaja berkempen tetapi membantu masyarakat di DUN Batu Tiga ketika ini,” katanya.

Jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di DUN Batu Tiga kelak, beliau mahu memastikan tiada masyarakat yang keciciran dari segi kebajikan dan sosioekonomi.

“DUN Batu Tiga ini dalam Parlimen Shah Alam iaitu ibu negeri Selangor dan Selangor telah menjadi negeri maju sejak 2005 iaitu negeri pertama yang diisytiharkan sebagai negeri maju yang kini sudah 18 tahun

“Bila saya menyantuni masyarakat di DUN Batu Tiga ini, saya lihat masih banyak lagi yang boleh ditambah baik dari segi kebajikan dan sosioekonomi masyarakat di sini

“Jadi kita tidak mahu ada masyarakat yang tercicir dari segi penerimaan bantuan kebajikan, peningkatan kehidupan serta sosioekonomi mereka,” katanya.

PRN Selangor bagi kerusi DUN Batu Tiga menyaksikan pertandingan tiga penjuru dimana Rina akan menentang calon Pakatan Harapan (PH) Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights