AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan PAS hanya membuka pekung sendiri apabila menuduh Umno akan mengkhianati kawan apabila semakin berkuasa.
Dakwanya, PAS yang sebenarnya kaki khianat kerana parti itu paling banyak melakukan perceraian jika berkahwin politik.
“Kalau kahwin politik dengan PAS, mesti berakhir dengan perceraian. PAS paling banyak melakukan perceraian politik
“PAS tinggalkan Semangat 46, Pakatan Rakyat dan DAP.
“PAS main dua lawang. Mereka tanda tangan piagam Muafakat Nasional dengan Umno. Dalam masa sama mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Maka siapa khianat siapa?,” soal Mohd Puad menerusi Facebooknya, hari ini.
Beliau membidas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat yang mendakwa Umno akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa.
Beliau memberi contoh penarikan sokongan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mendakwa, PAS menjadi satu-satunya parti yang membantu walaupun pernah mengecam Umno.
Mohd Puad turut menempelak kenyataan Tuan Ibrahim yang disifatkan tidak tepat.
“Tuan Ibrahim bagi contoh Perak. Dia kata Umno jatuhkan Peja untuk jawatan MB (Menteri Besar).
“Tidakkah PAS terlibat? Kenapa tidak sentuh Kedah. Mukriz jatuh dan PAS dapat jawatan MB,” katanya.
Jelasnya, Timbalan Presiden PAS itu mengecam Umno kerana menarik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi PAS suka jika Muhyiddin ‘bunuh’ Umno.
“PAS akan jadi parti Melayu tunggal. Ada udang di sebalik batu,” katanya. – Malaysiapost