TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan tidak mahu memaki hamun dan membuat lawak bodoh ketika berceramah, semata-mata untuk menarik minat rakyat.
Beliau berkata, ramai yang meminta beliau mengurangkan berceramah perkara yang berat seperti program berkaitan ekonomi kerajaan.
“Dulu-dulu masa saya berceramah terangkan skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, Felda dan lain-lain – komen yang sama yang diberikan kepada saya.
“Memanglah ramai yang lebih suka placebo dalam hidup – gejala malas nak fikir dan nak semua mudah. Sebab inilah orang kita selalu ketinggalan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Rafizi berkata, sebahagian daripada tanggungjawab pemimpin adalah memberi pencerahan supaya rakyat dapat menilai, di samping berdoa agar Allah membuka hati pengundi untuk memilih kebenaran.
“Bukan membodohkan rakyat hanya untuk mendapat undi dengan mengelak dari berbincang perkara serius dan membakar emosi rakyat mencari placebo.
“Biarlah yang maki hamun itu mendabik dada konon popular, tetapi menanggung beban hasil dari pembodohan rakyat,” katanya lagi.
Beliau yang merupakan Menteri Ekonomi berkata sebagai pemimpin seharusnya bersaing untuk memberi pencerahan kepada rakyat.
“Kerana rakyat yang cerdik adalah anugerah terbaik sesebuah negara, maka marilah kita berlumba-lumba mencerdikkan rakyat,” ujarnya. – Malaysiapost