PRESIDEN Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai mengakui tidak berkecil hati dengan insiden yang berlaku ketika Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Jalan Permatang Sungai Dua, kelmarin.
Sebaliknya, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN itu menyifatkan, insiden berkenaan adalah antara cabaran dalam berpolitik.
Malah, beliau berpendirian, kejadian itu juga tidak sesekali menjejaskan kedudukannya serta imej PN itu sendiri dan akan meneruskan aktiviti kempen seperti biasa.
“Tidaklah kecil hati, dalam arena politik apa sahaja boleh berlaku. Apa yang penting bagaimana untuk dapatkan keyakinan rakyat untuk menangkan PN,” katanya hari ini.
Sebelum ini, tular video di media sosial yang mendakwa Dominic ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ yang dianjurkan oleh PAS di Sungai Dua, malam Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, Ceramah Mega PN Best itu dianjurkan oleh PAS Kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan calon-calon parti Gerakan memang tidak dijemput untuk menyertai ceramah berkenaan.
“Saya tidak kisah tidak dijemput, saya ke sana kerana ingin bertemu dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan saya sendiri mempunyai program di Bayan Lepas.
“Ketika itu Abdul Hadi datang lewat dan dia perlu terus ke pentas untuk berceramah dan saya pun pulang ke Bayan Lepas untuk hadiri program saya,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk bergerak ke depan dan memberi fokus kepada kempen untuk memastikan kemenangan calon-calon PN di kesemua kerusi DUN yang ditandingi.
“Apa sahaja masalah yang dihadapi akan diselesai secara dalaman di peringkat parti komponen PN,” katanya. – Malaysiapost