SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, pada jam 10 pagi ini
Mesyuarat di Menara SPR Putrajaya itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya terbabit.
Satu sidang media juga akan diadakan selepas selesai mesyuarat khas itu.
Pada 25 Julai lalu, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram.
Ia berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam selepas ditidurkan setelah menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor pada 24 Julai. -Malaysiapost