BARISAN Nasional (BN) Kelantan mendakwa kumpulan yang akan lompat parti bagi menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah saudara mara Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, berkata beliau dimaklumkan kumpulan itu membabitkan hampir 1,000 ahli Umno cawangan Cabang Tiga Haji Musa di Ketereh.
“Walaupun ramai yang dikatakan akan keluar, namun cawangan berkenaan tidak boleh dibubar kerana ia bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Kita tengoklah pengumuman Annuar petang ini, namun apa yang saya boleh katakan, kumpulan berkenaan adalah saudara mara Annuar.
“Namun, anak Annuar, Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh dari cawangan berkenaan kekal bersama Umno,” katanya pada sidang media, hari ini.
Terdahulu, Annuar dilaporkan akan menjadi ‘tuan rumah’ kepada majlis pengisytiharan keluar parti secara beramai-ramai oleh pemimpin dan ahli Umno, hari ini.
Majlis berkenaan akan berlangsung di kediamannya di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan dan dijadual dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Md Alwi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas tidak menafikan perkembangan itu sedikit sebanyak mengganggu perjalanan parti terutama sepanjang tempoh berkempen.
“Namun adatlah bila musim begini… suasana seperti ini tidak pelik dan biasa. Tindakan mereka juga tidak bercanggah dengan agama, peraturan negara serta pilihan raya.
“Jadi kita kena terima dengan hati terbuka kerana sedangkan, suami isteri pun boleh bercerai, apatah lagi mereka yang duduk dalam parti.
“Tukar parti adalah biasa. Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad pun menyertai pelbagai parti. Itu normal dan kita jangan menganggap satu perkara besar sehingga menimbulkan perasaan marah dan benci,” katanya. – Malaysiapost