BARISAN Nasional (BN) Kelantan tidak menampilkan ‘poster boy’ dalam Piliihan Raya Negeri (PRN) kerana tindakan itu dianggap mendahului Sultan.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, berkata ini kerana sistem ‘poster boy’ kadang-kadang tidak terpakai.
“Kita tidak ada ‘poster boy’ kerana bagi kami tindakan itu seolah-olah mendahului Sultan. Sudah berlaku beberapa peristiwa di mana ‘poster boy’ yang ditampilkan orang lain, namun akhirnya orang lain yang diangkat selepas menang.
“Jadi kita berpendapat bila menang, kita akan serahkan nama kepada Sultan dan terpulang kepada Sultan untuk memilih. Jangan kita pula mendahului Sultan.
“Lebih elok kita angkat semua nama sama ada 23 atau 24. Biar Tuanku sendiri memilih yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu memberitahu, beliau percaya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mempunyai penilaian baginda sendiri untuk memilih pemimpin yang sesuai sebagai Menteri Besar.
Katanya, malah PAS sendiri yang sudah 33 tahun memerintah Kelantan tidak mengangkat Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebagai ‘poster boy’.
“Sepatutnya PAS letak Menteri Besar sebagai ‘poster boy’ tetapi apa yang dapat dilihat Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang lebih terkehadapan sekarang ini.
“Jadi PAS pun tidak berani meletakkan ‘poster boy’ dalam siri kempen PRN kali ini,” katanya. – Malaysiapost
Foto: Sinar Harian