Capric mahu beri kereta percuma, kes saman fitnah SM Faisal selesai

KES saman fitnah antara ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice diselesaikan secara baik di luar mahkamah, hari ini.

Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu di laman Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi yang juga bekas isteri SM Faisal.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal selaku plaintif selepas prosiding kes dalam kamar di hadapan Hakim Azian Othman.

“Hari ini kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman ini. Antara terma-terma utama penyelesaian itu antaranya membabitkan permohonan maaf yang perlu dibuat defendan (Caprice) dalam tempoh 48 jam.

“Namun terma-terma lain yang telah dipersetujui termasuk kos tidak boleh didedahkan secara terperinci,” katanya

Sementara itu, SM Faisal ketika ditemui berkata, beliau gembira kes saman fitnah itu akhirnya dapat selesai secara baik.

Dalam pada itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, mengesahkan akan memuat naik permohonan maaf terhadap plaintif dalam Instagram miliknya.

Malah, Caprice memaklumkan akan menghadiahkan sebuah kereta jenis Kia Sportage kepada pengikutnya di Instagram sempena penyelesaian kes itu.

“Kedua-dua pihak setuju selesaikan kes itu secara baik. Saya nak bagi kereta percuma yang dibeli sebelum ini dan buat kempen hentikan keganasan rumah tangga,” katanya.

Semasa prosiding Caprice diwakili peguam Harjoth Singh.

Hari ini adalah ditetapkan bagi pihak-pihak memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah itu, yang mana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur nmenerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan SM Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Emilia, 43, menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan niat jahat tanpa sebarang rujukan atau pengesahan daripada pihak plaintif. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights