PAS minta maaf insiden Dominic ‘dihalau’ daripada ceramah PN

PAS meminta maaf atas insiden Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang didakwa dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata sebagai Presiden Gerakan iaitu rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan calon PRN, kehadiran Dominic perlu dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip Islam.

“PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Dominic yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh Presiden PAS baru-baru ini.

“Bagi pihak kepimpinan PAS Pusat, saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, pemilihan Dominic sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata, pemilihan itu juga melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, lantas semua ahli dan penyokong perlu menerimanya

Katanya, PAS amat sedar sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan bagi DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

“Namun PAS percaya apabila keputusan mengenainya dibuat dengan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan,

“Maka ahli dan penyokong perlu menerimanya secara terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti diketuai Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan Perikatan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden PAS sendiri,” katanya.

“PAS seperti parti lain juga amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutamanya dalam isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon bagi sesuatu kerusi DUN mahupun Parlimen,” katanya.

Takiyuddin berkata, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, PAS percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak yang memerlukannya.

Katanya, PAS melihat Dominic dan parti pimpinannya tergolong kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan itu.

“PAS berharap dan menggesa semua ahli dan penyokong parti dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN yang sedang kita hadapi.

“Sekali gus mengetepikan sementara perkara lebih kecil yang boleh melemahkan usaha bersama untuk mencapai kejayaan yang akan membolehkan kita meraih kejayaan lebih besar dan bermakna.

“Sewaktu negara dan nusa memerlukan kita berbakti kepadanya, sewajarnya dengan tulus dan bertanggungjawab, kita menyahut seruan itu dalam kerangka satu suara dan satu tekad yang sebaik-baiknya,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa PAS menjelaskan punca Dominic dihalang menghadiri ceramah parti itu di Sungai Dua.

Terdahulu, tular video menunjukkan Dominic dihalang seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad ke atas pentas.

Difahamkan, ada yang memprotes dan kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Dominic: “Tak boleh. You go away.” – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights