‘Rafizi bukan calon PRN pun boleh, kenapa Adam tolak?’ – Syed Saddiq

PRESIDEN MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli susulan keputusannya untuk berdebat hanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, alasan diberikan Adam Adli itu tidak konsisten dengan tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mencabar pemimpin lain berdebat ketika PRN sedang berlangsung.

“Adam Adli telah tolak cadangan saya. Alasan yang diberikan lepas PRN, biar calon PRN yang bahas.

“Bila Timbalan Presiden parti saudara cabar pemimpin lain, tiada pula alasan ini timbul. Kena konsisten!.

“Rafizi pun bukan calon PRN tapi tiada masalah untuk dia berbahas dan cabar mencabar yang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu, Adam Adli menerima pelawaan Syed Saddiq untuk berdebat mengenai isu anak muda namun mencadangkan agar program itu dilakukan selepas PRN berlangsung.

Syed Saddiq bagaimanapun tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Adam Adli.

Tegasnya, ini adalah masanya pemimpin menggunakan platform yang sesuai untuk membahaskan isu, manifesto dan solusi untuk rakyat.

“Seperti mana Rafizi mencabar pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk berdebat tentang perihal ekonomi negara.

“Saya fikir permasalahan anak muda juga turut diberi perhatian serta-merta,” katanya.

Susulan keputusan Adam Adli itu, Syed Saddiq menjemput Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Kelvin Yii untuk menggantikannya membentangkan pelan mengenai permasalahan anak muda.

Selain Adam Adli, Syed Saddiq turut menjemput Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari untuk berdebat dan cabaran itu telah pun disahut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights