MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membawa bukti mengenai penyelewengan kes unsur nadir bumi (REE) ke mahkamah sekiranya dakwaan yang dibuatnya itu benar.
Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengaran Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), berkata tindakan itu dilihatnya lebih tepat berbanding melontarkan tuduhan dan dakwaan mengenai isu REE di Kedah di pentas ceramah.
Jelasnya lagi, apa saja dokumen dikemukakan Saifuddin ketika ini bukannya bukti, sebaliknya sekadar hujah untuk membina naratif ketika kempen ceramah sempana Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Dia bukan tunjuk bukti (tetapi) dia bina naratif, bina persepsi…mana ada bukti (penyelewengan REE), dia nak bukti (kena) ada kes, ini kes pun tak ada, nak bukti apa.
“Bukti kalau ada kes (maka) bawa ke mahkamah, tak payah dilontar di pentas ceramah, itu bukan kerja yang betul. Saya tak pernah buat kerja begitu, (jadi) bawa ke mahkamah,” katanya.
Malah, Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah jemu untuk melayan soalan Saifuddin berkenaan REE, lantas mahu membiarkan Setiausaha Agung PKR itu ‘menari’ sendirian ketika ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendedahan Saifuddin dengan pelbagai dokumen dikemukakan kepada media menyebabkan pemimpin PKR itu semakin banyak ‘terkantoi’.
“Bukankah sudah kantoi tadi, orang dah cakap lama bahawa So Lai Fat (warga China yang didakwa terbabit dalam REE di Kedah) sudah lama ada sini (Kedah)sebelum saya jadi Menteri Besar.
“Dia tak percaya, dia kata So Lai Fat masuk dengan surat dari saya, itu tak betul.
“Mereka ada sini lama dah, tanya Fathul Bari (Pemegang saham dalam Prospek Suria Sdn Bhd, Dr Fathul Bari Mat Jahaya). Dia buat syarikat dengan mereka, tahun 2019 daftar syarikat yang Kedah (Prospek Suria Kedah Sdn Bhd), yang Malaysia (Prospek Suria Sdn Bhd) sebelum dari itu,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran Saifuddin supaya mengemukakan bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan taikun dari Indonesia, Mohammad Riza Chalid memohon untuk mengusahakan lombong REE di Kedah, Muhammad Sanusi memberi amaran supaya tidak mencabarnya untuk mendedahkan bukti berkaitan.
“Bencana bagi negara ini apabila ahli politik mencampuri urusan jabatan kerajaan dia (Saifuddin) ada petak (bidang kuasa) dia duduk, jangan campur semua urusan jabatan, semua dia nak masuk campur.
“Mai (datang) Kedah ini berapa puluh kali sebulan, semua orang urus itu, naik heli ke naik kapal terbang kan? Nak kena buka bilik (hotel) kan? Nak kena jamu lagi dia mai kerap-kerap.
“Pergi buat kerja KDN (Kementerian Dalam Negeri), dia makan gaji RM70,000 RM80,000 sebulan kan? Dok kira REE saja, KDN berlambak lagi tugasan lain,” katanya. – Malaysiapost