PELAKON Serina Redzuawan tidak mampu menahan sedih apabila menerima perkhabaran bapanya, Chef Wan disahkan menghidap kanser limfoma.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Serina meluahkan rasa sedih seolah-olah hatinya ibarat kaca terhempas ke lantai atas ujian yang menimpa bapanya.
“Semalam, hati saya ibarat kaca jatuh berkecai ke lantai bila dengar pesanan papa memberitahu ada kanser limfoma.
“Memang sedih, saya tak dapat tahan air mata dan menangis sepuasnya.
“Saya tahu ini ujian Allah untuk papa dan kami sekeluarga. Allah maha baik dan pilih papa. Sebab papa adalah insan berhati mulia, selalu bantu dan ceriakan hidup orang.
“Sentiasa bantu ahli keluarga dan adik-beradik. Syukur, Alhamdulillah,” tulisnya.
Serina berkata, bapanya reda atas ujian penyakit yang diterima.
“Papa reda dan tenang terima ketentuan ini. Saya bangga dengan papa! Insya-Allah sakit tanda Allah sayang, cuci dosa dan menaikkan darjat sebagai manusia.
“Ingat papa, kami semua ada, Rina, Aidid, Tristan, Isabella, Riz, adik-beradik, sahabat dan peminat semua sayangkan papa. Kami akan doakan papa kembali sihat. Terus kuat,” katanya.
Serina berharap, orang ramai turut mendoakan kesembuhan buat bapanya dan kekuatan untuknya melawan kesakitan.
Semalam, Chef Wan berkongsi dirinya disahkan menghidap kanser limfoma menerusi entri dalam IG.
Chef Wan memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil kerana kanser dihidapinya masih di peringkat awal. – Malaysiapost