DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak gentar dengan tuntutan saman oleh Datuk Seri Amirudin Shari dan sedia berdepan Menteri Besar Selangor itu di mahkamah.
Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau akan menjawab segala tuntutan di mahkamah sekiranya perlu, namun setakat ini belum menerima sebarang notis undang-undang daripada pihak Amiruddin.
“Saya masih tunggu dokumen (tuntutan saman) yang dimaksudkan,” katanya memetik laporan FMT.
Semalam Amirudin berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi kerana didakwa memfitnahnya dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Jitra.
Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, Rabu lalu, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan pengasas Berjaya Group Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.
Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan negeri sekitar RM180 juta.
Amirudin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut sambil menegaskan ia percubaan terdesak dan fitnah oleh Muhammad Sanusi.
Perkara itu katanya, sudah pun dijelaskan secara panjang lebar ketika sesi sidang DUN tahun lalu dan awal tahun ini.
Justeru, jelas beliau tindakan Muhammad Sanusi yang sengaja membangkitkan semula isu itu hanyalah untuk mengalih persepsi terhadap dakwan skandal unsur nadir bumi (REE) terpalit ke pemimpin PAS terbabit – Malaysiapost