TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah kembali sembuh selepas dilaporkan dijangkiti influenza, hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN, turut meluahkan kesyukuran apabila ujian darah yang dijalankan juga mendapati beliau bebas dari virus tersebut sebaliknya mengalami demam selsema yang agak teruk sahaja.
“Saya baru setengah hari ni turun padang kerana demam selsema. Alhamdulillah bila cek darah tu, bukan influenza cuma demam selsema tapi teruk.
“Jadi dapat saya turun memulakan kempen saya semula di DUN Rantau dalam siri masa berkempen.
“Pemerhatian saya setakat ni Alhamdulillah. Sokongan daripada pengundi-pengundi, penduduk di kawasan amat baik terutamanya di semua kawasan-kawasan yang saya pergi. Sambutan dan reaksi baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Melayu, Cina Dan India di Dewan Terbuka Bola Keranjang Kuala Sawah, hari ini.
Pada PRN kali ini, beliau yang juga calon BN di DUN Rantau menentang Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rozmal Malakan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen rembau adalah penyandang kerusi berkenaan selepas menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau sebelum ini. – Malaysiapost