PAKEJ talian pascabayar khusus untuk penjawat awam akan diumumkan kerajaan esok, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, pakej istimewa itu ditawarkan ekoran rungutan yang diterima daripada petugas barisan hadapan di lapangan berkaitan harga langganan talian pascabayar ketika ini.
“Insya-Allah esok ada sedikit pengumuman khusus untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Balai Raya Taman Desa Jenderam Hilir, hari ini.
Bagi petugas media pula, Fahmi berkata, perbincangan mengenai pakej talian pascabayar akan dibuat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) esok dan keputusannya akan diumumkan pada masa akan datang.
“Saya akan bangkitkan (untuk petugas media), kita tengok sama ada mereka (telco) setuju atau tidak,” katanya.
Fahmi berkata, usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak akan terhenti dalam mengurangkan beban pengguna talian perkhidmatan telekomunikasi.
Malah, katanya, ia akan dipergiatkan setiap masa bagi memastikan segenap lapisan masyarakat menikmati kualiti perkhidmatan yang lebih baik pada kadar harga yang berpatutan.
“Insya-Allah selepas kita melaksanakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), harga Internet akan berkurangan,” katanya.
Pada 31 Julai lepas, Fahmi dilaporkan berkata, harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila MSAP diguna pakai. – Malaysiapost