Polis Selangor buka kertas siasatan papan iklan PH dirobohkan

SATU kertas siasatan dibuka polis Selangor, semalam susulan laporan berkaitan papan iklan calon Perikatan Nasional (PN) dirobohkan individu tidak dikenali.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 

Katanya, pihaknya menerima 55 laporan membabitkan kes itu tetapi hanya satu kertas siasatan dibuka.

“54 laporan lagi diklasifikasikan sebagai NOD iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada apa-apa kesalahan dan tangkapan.

“Laporan polis ini dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan menerusi Ops Cantas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, semalam saja sebanyak 286 kempen berpermit diadakan dengan satu tanpa permit dan ceramah berpermit pula sebanyak 90. 

Hussein turut menasihati semua calon supaya memastikan pemasangan bendera parti, kain rentang dan poster tidak diletakkan di pagar premis kerajaan serta rumah ibadat, selain di lampu isyarat dan simpang jalan.

Ini kerana tindakan terbabit boleh menghalang pandangan pengguna jalan raya.-Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights